Anggota polis mencekup salah seorang suspek (tengah).
SEKINCHAN – Hasrat kaki lalok melepaskan gian di ladang kelapa sawit berhampiran jeti pendaratan ikan, Sekinchan di sini, tidak kesampaian apabila mereka dicekup polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Operasi yang bermula jam 5 pagi dan berakhir 1.30 petang itu berjaya menahan seramai 66 lelaki warga tempatan termasuk dua warga Myanmar dan enam pelajar sekolah yang kesemuanya berusia lingkungan 14 hingga 58 tahun.
Ketua JSJN Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, seramai 24 anggota dan tiga pegawai diketuai Asisten Superintendan, Husni Manaf mengerakkan operasi besar-besaran dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah di ‘port’ tersebut.
“Dalam usaha memutihkan kawasan ini, polis telah menjalankan intipan sejak seminggu lalu selepas menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan kawasan ini sering dijadikan port penagihan dadah,” katanya kepada Sinar Harian.
Nordin berkata, hasil maklumat itu, polis melancarkan gerakan ‘memburu’ penagih yang kebanyakannya tinggal di sekitar kawasan Tanjung Karang dan sekitar daerah Sabak Bernam.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis membuat sekatan jalan raya dan menahan mereka yang dipercayai menuju ladang tersebut untuk melepaskan gian.
“Operasi ini dianggap berjaya apabila ramai penagih dicekup walaupun usaha untuk menahan mereka berdepan dengan pelbagai halangan dan kesulitan apabila ada di antaranya cuba melarikan diri,” katanya.
Dalam operasi itu juga, katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kerana dipercayai memiliki satu gram dadah jenis heroin.
Menurut Nordin, kebun kelapa sawit itu menjadi pilihan kaki lalok memandangkan kawasannya yang tersorok memudahkan penagih bersembunyi bagi mengelakkan kegiatan tidak bermoral itu dihidu polis.
“Kita yakin penagih sering keluar masuk ke dalam kebun kelapa ini untuk melepaskan gian. Harap dengan tertangkapnya ramai penagih ini dapat membanteras kegiatan itu pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, semua suspek akan menjalani ujian air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam .
“Hari ini (semalam) beberapa kes dadah dikenal pasti termasuk memiliki. Siasatan dibuat ikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, selebihnya Seksyen 15(1) akta sama dan Seksyen 31(1) Akta Penagih Dadah,” katanya.
sumber : http://wwwsaja-saja.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment