Arja Lee
Kegagalan Arja Lee yang tidak berjaya menjadi pelajar Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) tidak melemahkan semangat pelakon itu untuk meneruskan cita-citanya sebagai penyanyi.
Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, berkata, walaupun orang melihat dia sekadar suka-suka ingin mencuba nasib di bidang nyanyian, namun sebaliknya dia benar-benar serius untuk menceburi dunia muzik.
"Dulu saya sering menyanyi di pentas teater dan kerana itu saya mencuba nasib di AF 2013 namun rezeki tidak berpihak pada saya.
"Tidak mengapa, semua itu hanyalah salah satu dugaan yang harus ditempuh. Saya tidak akan berhenti menyanyi kerana ingin berjaya di bidang nyanyian juga," katanya kepadamStar Online.
Tambah Arja, dia juga bersyukur walaupun dirinya bukanlah seorang penyanyi, namun dia sering mendapat undangan nyanyian menerusi beberapa majlis-majlis korporat.
Dan kerana itu, dia juga sedang membuat perancangan untuk menghasilkan single lagu terbaharu tetapi bukan dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Arja memberitahu, sejak menyertai AF 2013 di peringkat awal, peminatnya juga bertambah menerusi laman Instagram, Twitter dan Facebook.
"Alhamdulillah, dengan publisiti yang diraih, peminat saya makin bertambah. Dalam erti kata lain, peminat kini lebih mempercayai saya. Justeru itu saya harus tampil dengan hasil kerja yang terbaik dalam lakonan dan juga nyanyian, Insya-Allah," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan karier lakonannya, Arja ingin berehat selama beberapa minggu sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran.
Lakonan Arja sebelum ini popular menerusi drama Misiku Kuza yang ditayangkan di Astro Ria dan Ramadhan Yang Hilang di TV3 pada Ramadan lalu.
sumber : http://mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment