Aktor dan pengarah muda, Farid Kamil Zahari menjelaskan yang dia sedang merancang untuk mengadakan sebuah majlis bagi memperkenalkan anak sulungnya dengan aktres jelita, Diana Danielle kepada umum dalam sedikit masa lagi.
"Saya merancang untuk mengadakan sebuah majlis untuk memperkenalkan anak saya secara rasmi. Majlis itu juga akan menjadi majlis khatam Al-Quran untuk Diana dan kenduri aqiqah untuk anak saya. Diana sudah mula mengaji Al-Quran dan saya merasakan majlis ini akan menjadi lebih menarik apabila Diana akan turut khatam Al-Quran dalam majlis yang sama," jelas Farid ketika ditemui di Tayangan Media Filem 'Dampak' di Cathay Cineplex, Damansara pada Khamis.
Bercakap mengenai khabar yang mengatakan stesen Astro bakal menjadi penyiar eksklusif untuk majlis tersebut, Farid berkata semuanya masih dalam fasa perbincangan dan perkara ini belum lagi mencapai kata putus.
"Pihak Astro berminat untuk menjadi penaja bagi majlis ini. Nama anak pun belum saya hebahkan lagi kepada semua dan saya akan umumkan ketika majlis ini berlangsung. Semua perkara berkaitan Diana dan anak saya masih perlu saya diamkan dahulu kerana pihak pengurusan saya, Metrowealth masih lagi berbincang dengan pihak Astro dan perkara ini baru memasuki fasa pertama. Tarikh majlis pun belum ditetapkan lagi," cerita hero filem '7 Perhentian' ini.
Berkenaan ibu mertuanya yang masih belum lagi bertemu dengan Diana dan cucunya, Farid menjelaskan kemungkinan ibu mertuanya itu akan bertemu mereka sekeluarga di majlis itu nanti. Farid juga menjelaskan bahawa Diana dan anaknya telah pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri dan kini Diana sedang berpantang secara tradisional di Alor Star, Kedah, kampung halaman Farid.
Farid juga meluahkan rasa syukurnya kerana Diana dan anaknya kini berada dalam keadaan sihat sejahtera. Bercakap mengenai karier lakonan Diana, Farid menyatakan yang dia mahu Diana pulih dan cergas seperti sediakala dahulu sebelum kembali aktif berlakon.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment