Adi Putra akan membuat sidang akhbar berhubung gosipnya dengan isteri seorang ahli perniagaan dari Johor pada Selasa ini pukul 3 petang.
Sidang akhbar itu bukannya yang pertama diadakan dengan tujuan untuk membersihkan namanya. Pelakon memiliki nama Muhamed Hadi Putra Halim itu sebelum ini pernah mengadakan sidang akhbar berhubung kes perceraiannya pada tahun lalu.
Pada 22 Mac 2012, aktor berusia 32 tahun itu telah muncul pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur untuk menjelaskan tentang kes perceraiannya.
Penjelasan itu dibuat selepas dia membuka fail perceraian terhadap isterinya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei 2012. Namun, Adi menutup semula fail tersebut selepas 10 hari dia mengemukakan kes perceraiannya.
Ketika itu, Adi Putra dan isterinya, Zuhaida Yusof mengadakan sidang akhbar di sebuah kafe di Hotel Park Royal bagi menjelaskan mengenai status mereka selepas timbul spekulasi bahawa mereka sudah tidak sehaluan.
Namun, selepas isu perceraian itu selesai, nama Adi Putra naik lagi malah menjadi sebutan bibir ke bibir. Kes siasatan polis berhubung gangguan Adi terhadap isteri ahli perniagaan itu kini menjadi sebutan.
Pada minggu lalu, Adi Putra muncul di Esplanade, Singapura apabila berlakon dalam teater Akulah arahan Erma Fatima. Dalam pementasan teater itu, dia membawakan watak seorang Datuk yang mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Bagaimanapun, ia cuma teater.
Dalam alam realiti Adi Putra belum membuka mulut menerangkan keadaan yang sebenar tentang isu dia didakwa menganggu isteri orang.
Skandal Adi Putra dengan isteri orang itu kini disiasat polis selepas suami wanita berkenaan membuat laporan.
Menurut laporan tersebut, pelakon itu didakwa saling berbalas-balas mesej dan bertukar-tukar gambar lucah dengan wanita berkenaan yang berusia 30 tahun walaupun mereka baru berkenalan selama seminggu.
Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita tersebut menerusi laman Instagram sebelum mereka kerap berbalas-balas mesej melalui aplikasi Whatsapp sejak 29 Julai lalu.
Bagi menjernihkan keadaan yang sedang panas ini, Adi Putra mengesahkan kepada wartawan bahawa dia akan mengadakan sidang akhbar pada 10 September ini pada pukul 3 petang di Bunga Tanjung Lounge, Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, kenyataan tentang sidang akhbar itu telah dikeluarkan oleh pengasas Fereena Beauty Care, Zulkifly Muhamad yang juga rakan niaga Adi Putra untuk produk kecantikan tersebut.
"Adi Putra menyatakan dia mahu membuat sidang akhbar ini untuk menjelaskan keadaan yang sebenar berhubung tuduhan tentang skandalnya antara dia dengan isteri seorang ahli perniagaan. Dia melihat semua yang berlaku ini sebagai satu hikmah dan dari sudut positif," ujar Zulkifly.
sumber : Kezoom
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment